Monday, March 25, 2013

KEBATINAN / KEROHANIAN DI DALAM SILAT MELAYU

Sekadar Gambar Hiasan.
Almarhum Pendita Tn. Hj. Anuar Abd. Wahab A.M.N. (1945-2009) telah menulis sebuah artikel bertajuk “SILAT itu SATU” untuk majalah SENI BELADIRI keluaran September 2007. Dari artikel tersebut boleh disimpulkan yang ilmu kerohanian Silat Melayu telah melalui empat peringkat atau fasa yang memakan ratusan tahun. Setiap peringkat kerohanian telah mengarah kepada perubahan dari sudut kepercayaan, falsafah serta pemahaman keagamaan bagi pengamal kebatinan Silat Melayu khasnya dan penduduk Nusantara amnya.

4 Peringkat Kebatinan / Kerohanian Silat Melayu
  1. Animisme (sebelum/semasa era Sriwijaya)
  2. Hindu-Buddha (semasa era Sriwijaya)
  3. Islam (semasa era Kesultanan Melaka sehingga sebelum era penjajahan)
  4. Sekularisme (semasa era penjajahan sehingga kini)
1. ANIMISME
Pada peringkat awal, kerohanian Silat Melayu berdasarkan kepercayaan animisme seperti melakukan pemujaan atau penyembahan kepada pokok-pokok, batu-batu, gunung-ganang oleh rakyat tempatan melalui upacara kepawangan atau ilmu hitam. Mereka percaya wujudnya kuasa-kuasa ghaib daripada nenek moyang, penunggu, sumpahan dan pemujaan. Pengamal kebatinan akan memakai tangkal mistik yang diperbuat daripada batu, kayu, tulang dan mereka akan membaca mantera jampi serapah di dalam bahasa Melayu sebagai tanda mereka berhubung dengan alam ghaib. Sebagai tambahan, tangkal ini dipakai sebagai perlindungan dan bantuan daripada alam ghaib.
Kiram III membuat jampi serapah
ketika Krisis Lahad Datu (Mac 2013).

2. HINDU-BUDDHA
Pada peringkat kedua, kebatinan Silat Melayu telah berubah dari amalan animisme kepada amalan keagamaan yang berpengaruh daripada Hindu-Buddha. Namun, amalan animisme tetap  diamalkan tetapi bercampur dengan kepercayaan kuasa-kuasa dewa-dewi, keramat, bertapa, puasa, menyembah, yoga, mandi keramat, nujum, mantera jampi serapah, kepercayaan kepada tuah dan sial, memakai tangkal azimat dari besi, tulang dan kulit binatang.

3. ISLAM
Peringkat peringkat ketiga adalah pengaruh daripada Islam yang melalui pelbagai jalan (seperti yang terkandung di dalam Sejarah Malaysia). Namun, kerohanian slam tidak dapat berkembang sepenuhnya dalam kebatinan Silat Melayu seperti yang diamalkan oleh para sahabat dan pahlawan zaman Rasulullah (s.a.w.). Ini adalah kerana berlakunya penjajahan  Barat yang menjadikan Islam sebagai musuh utama mereka.

Pada peringkat ini, kerohanian Islam telah bercampur-baur antara amalan kerohanian Melayu tradisi purba (animisme dan Hindu-Buddha) di mana para pengamal mempercayai kuasa Allah sebagai Tuhan sekalian alam, tetapi dalam masa yang sama mengamalkan amalan khurafat dengan membuat sandaran kepada malaikat, 'sahabat', saka, jin, wali, roh keramat para panglima, dan semangat binatang (harimau, helang, monyet, dan macam-macam lagi) yang mampu membantu para pengamal ketika dalam kesusahan. Amalan khurafat lain yang turut dilakukan adalah seperti semah gelanggang, mandi minyak, mantera jampi serapah sebagai pendiding, pengunci, pelimun, petunang, pembisa, dan pelali.

4. SEKULARISME
Peringkat ke-empat adalah pengaruh sekularisme di mana agama dan budaya dipisahkan daripada hal-hal keduniaan. Silat dan falsafahnya mula dipengearuhi pelbagai pemikiran dan falsafah dimana Silat hanyalah sebagai satu bentuk budaya tradisional yang sama seperti tarian-tarian tradisional dan bukan sebagai ilmu untuk mempertahankan tanahair dari diserang oleh pihak luar (seni mempertahankan diri rasmi untuk tentera Malaysia). Tarian tradisional hanya digunakan sebagai persembahan bangsawan dan ada sebahagiannya dijadikan metod memanggil atau menyeru "sesuatu" dari alam ghaib.

Itulah ringkasan mengenai empat peringkat atau fasa peralihan yang dilalui dan dipengaruhi  oleh kerohanian Silat.

Sekadar Gambar Hiasan.
Almarhum juga ada menyebut di dalam artikel tersebut yang manusia mempunyai kekuatan mutla melalui keupayaan fizikal, mental dan kerohanian. Ia diperkukuhkan lagi melalui latihan minda dan jiwa seperti latihan yoga, pernafasan, tenaga dalaman, aura, sihir, dan sebagainya yang datang daripada amalan pelbagai agama, ajaran dan kepercayaan. Pengamal kebatinan dapat memperlihatkan keupayaan luar biasa dengan memecah genting batu, mematahkan besi waja atau ketulan ais keras, menjilat besi panas, membakar badan sendiri, mandi asid, memakan kaca, ditusuk besi, tahan dipukul dengan tukul besi, rotan, kayu, besi dan lain-lain lagi.

Jika dilihat pada masa kini, terdapat beberapa perguruan Silat telah kembali mengambil dan mengamalkan amalan-amalan kebatinan yang lampau sebagai pengisian kebatinan dalam perguruan tersebut.

Gambaran Pahlawan Islam
Sumbangan kerohanian Islam kepada ilmu persilatan Melayu ternyata masih belum terbentuk sepenuhnya. Namun, terdapat sebahagian Ulama' atau guru-guru agama yang juga pengamal dan pengajar Silat sedar tentang hal ini telah meninggalkan atau membuang amalan-amalan syirik dan khurafat (amalan animisme dan Hindu-Buddha). Hasilnya, terdapat kekosongan pada ruang kebatinan Silat. Tanpa pengisian kepada kekosongan tersebut kemungkinan besar pengaruh kebatinan lama bakal diisi semula atau amalan bukan Islam secara tidak sedar. Ulama'-ulama' ini segera memperturunkan ilmu kerohanian Islam disamping mengekalkan amalan budaya Melayu yang tidak bercanggah dengan Syarak.

Pendidikan kerohanian Islam dimulakan dengan memperkenalkan ketokohan pahlawan Islam seperti Saidina Omar Al-Katab, Saidina Ali, Saidina Hamzah, Khalid Al Walid, Tariq bin Ziad, dan terutama sekali ketokohan Nabi Muhammad (s.a.w.). Oleh itu, pesilat dapat melihat Islam sebagai kerohanian dan ilmu dalam membangunkan kekuatan rohani dan jasmani sebagaimana memperkuatkan lagi amalan Islam yang meliputi ibadah, aqidah, dan pembinaan akhlak. Maka ilmu Tasauf berjaya memupuk kesucian hati melalui riadah rohani yang bersumberkan beberapa aliran Tarikat dan aliran Sunnah wal Jamaah mazhab Imam Syafie seperti Tarikat Ahmadiah, Muhamadiah, Naqshabandiah, Qadariah dan lain-lain lagi.

Almarhum Pendita Tn Hj Anuar Abd Wahab di tengah-tengah
bersama guru-guru tua.

Hasilnya, para pesilat dapat melihat sendiri akan kebesaran dan keagungan Allah dan merasa diri ini lemah dan kecil serta sentiasa berasa  tawaduk. Usaha para Ulama' tersebut berjaya mengisi kekosongan amalan kebatinan dalam persilatan Melayu dengan kerohanian Islam yang suci dan bersih.

Kesimpulannya, amalan kebatinan dalam Silat Melayu melalui revolusi empat peringkat (Animisme, Pengaruh Hindu-Buddha, Pengaruh Islam, dan Sekularisme). Walaubagaimanapun pengaruh Sekularisme masih tidak kuat dalam Silat Melayu. Namun, kerohanian Islam tidak sepenuhnya berpengaruh dalam kebatinan Silat Melayu. Pada masa kini, masih ramai guru-guru dan pengamal kebatinan mencampur-adukkan amalan kerohanian Islam dengan amalan khurafah era animisme dan Hindu-Buddha yang terang-terang melanggari Hukum Syara'. Para ulama' dan guru-guru agama pada masa kini perlunya berganding bahu bersama guru-guru Silat untuk mengisi sepenuhnya amalan-amalan kerohanian Islam kedalam ilmu kebatinan Silat Melayu agar Silat Melayu menjadi lebih unggul dan suci untuk diamalkan para pejuang agama dan rakyat Malaysia.

Dirumuskan oleh Safwan A. Hassan berdasarkan tulisan Almarhum Pendita Tn. Hj. Anuar Abd Wahab di Majalah Seni Beladiri keluaran September 2007.


Sentiasa lah Hati ini mengingati ALLAH.


1 comment:

  1. Play the best free videos on YouTube: youtube.com
    Play the best free videos on YouTube: youtube.com. how to convert youtube to mp3 YouTube is one of the most popular websites to play online for free,

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...