Saturday, March 9, 2013

PEMBENTUKAN AKHLAK & ADAB MELALUI PENDIDIKAN SILAT

Sekadar Gambar Hiasan.
Islam merupakan agama pembangun tamadun berasaskan akal dan wahyu yang dapat membentuk akhlak, beradab, berbudi, pekerti, bersopan santun dan bertatasusila dengan perilaku yang baik. Pembentukan akhlak dan adab melalui Pendidikan Silat dapat membentuk Pendekar Silat sebagai Khalifah Allah atau Insan Kamil yang seimbang dari aspek ilmu, kemahiran dan amalan dunia dan akhirat.

Adab yang diamalkan dalam Silat adalah saringan daripada nasihat para Guru-guru Tua secara langsung di gelanggang atau di luar gelanggang Silat. Diharapkan adab-adab yang diperturunkan di bawah dapat membentuk perpaduan dan keharmonian persaudaraan seperguruan. Insyallah.

ADAB MURID

Menuntut ilmu adalah kewajipan sebagai senjata yang dapat memerangi kejahilan zahir dan batin serta dapat meningkatkan martabat manusia sebagai KHALIFAH ALLAH. Setiap murid yang mempelajari Silat mestilah mengamalkan adab menuntut ilmu. Antaranya :

  1. Suci hati daripada sikap- sikap negatif seperti riak, takbur, `ujub, megah, kasih kepada dunia, hasad, marah, berkata perkara yang buruk atau fitnah, makan dan minum jenis yang haram atau sumber haram, malas dan lalai dengan tidur. Pesilat harus mengamalkan sikap yang positif seperti taubat, bersih, zuhud, sabar, syukur, ikhlas, tawakal, muhibah, redha dan ingat kepada Allah dengan Zikrullah.
  2. Merendah diri dan merasa hina di hadapan Allah, tidak membesarkan diri kepada guru dan sahabatnya. Menerima apa-apa yang diajarkan serta patuh kepada guru, jurulatih, ibu bapa dan memimpin.
  3. Memelihara pancaindera yang boleh merosakkan hati, seperti telinganya mendengar segala perkataan bidaah, acuman, khabar angin, mengumpat dan fitnah. Mata melihat memandang perkara maksiat, mulut berkata kepada perkara yang tidak berfaedah dan tangan melakukan perbuatan keji.
  4. Mengosongkan hati kepada perkara keduniaan yang tidak kekal padanya. Mengambil dunia sekadar perlu, selebihnya disedekahkan, dizakatkan, menolong fakir miskin serta menjauhkan diri daripada perkara haram dan subahat.
  5. Mendahulukan Syara’, Fardu `Ain daripada Kifayah, kemudian aurad (wirid) atau pekerjaan amal yang lain. Solat merupakan amalan kerohanian yang tertinggi.
  6. Bersungguh-sungguh menuntut ilmu dan amal agar Allah membuka pintu hati murid agar diberikan kekuatan hati dengan iman dan yakin yang dapat memerangi hawa nafsu.
  7.  Tetapkan segala amalan ibadat dan taat semata-mata kerana Allah dan menjunjung perintah Allah.

  
ADAB BERGURU
Adab ini adalah peraturan yang diamalkan semasa belajar di majlis ilmu atau amali di dalam kelas Silat.

  1. Memberi salam, memberi hormat kepada guru/jurulatih dan rakan dengan ikhlas.
  2.  Menjaga kehormanian majlis ilmu dengan tidak terganggu, memberikan peluang kepada guru menyampaikan ilmu dan gunakan masa yang sesuay untuk bertanyakan soalan atau pendapat. Sekiranya ada hajat untuk meninggalkan majlis ilmu, terlebih dahulu memberitahu guru/jurulatih.
  3. Menumpukan perhatian di dalam kelas dengan tidak bercakap-cakap, menyangkal, berbisik-bisik atau mengalih pandangan atau perhatian majlis kepada perkara lain ketika guru/jurulatih sedang menyampaikan ilmu.
  4. Mengucapkan terima kasih kepada guru/jurulatih sebaik tamat pelajaran, berdiri atau bergerak meninggalkan majlis kemudian daripada guru/jurulatih. Sentiasalah berbaik sangka kepada guru/jurulatih.

ADAB GURU / JURULATIH

  1.  Keterampilan diri dan persediaan bahan, maklumat, peralatan, keperluan majlis ilmu untuk teori dan amali.
  2. Menghadapi tugas dan menerima hal murid dengan redha dan sabar serta tidak lekas marah.
  3. Tidak membesarkan diri sebaliknya membangunkan bakat murid dari aspek ilmu dan amali supaya muridperoleh kejayaan.
  4. Memiliki rasa kasih saying kepada murid dan menyampaikan ilmu dengan amanah, berhemah, dan ikhlas. Guru seperti bapa yang berusaha menyelamatkan anak di dunia dan akhirat.
  5. Rendah diri di hadapan Allah kerana murid adalah amanah Allah kepadanya.
  6. Ingat kepada Allah di dalam hatinya agar terhindar dari sifat-sifat buruk. Bahawa tugas mendidik sebagai ibadah dan sedekahnya.


ADAB GELANGGANG / KELAS SILAT
Adab kepada setiap pesilat yang mengikuti majlis ilmu atau latihan di Kelas Silat agar suasana pengajaran dan pembelajaran adalah baik.

  1. Patuh dan hormat kepada Guru, Jurulatih dan Ketua Gelanggang.
  2. Menepati masa latihan atau program yang ditetapkan.
  3. Menumpukan pelajaran atau aktiviti yang dijalankan.
  4. Menjaga kebersihan, kesucian dan sahsiah diri zahir dan batin.
  5.  Menjaga keselamatan diri dan rakan.

ADAB BERGAUL
Setiap pesilat harus mengawal diri dan melakukan pergaulan sihat, harmoni dan muhibbah.

  1. Mulai pertemuan dengan memberi salam dengan hormat dan ikhlas.
  2. Bertutur dengan sopan, jelas dan nada yang baik serta menyenangkan.
  3. Mengawal emosi, tenang dan elakkan dari fitnah.
  4. Mengelakkan dari persoalan peribadi kecuali atas sebab-sebab tertentu.
  5. Menghormati pendapat, pandangan, mendengar dan member pendapat yang jujur.
  6. Meninggalkan majlis atau pertemuan dengan hormat dan ucapan salam.

ADAB BERSENDIRI
Gunakanlah masa bersendiri itu untuk perkara bermanfaat dan berhikmah. Antaranya seperti berikut:

  1. Musyahadah kepada Allah dengan menjaga diri dari perkara tercela pada zahir dan batin.
  2. Zikrullah atau melakukan amal atau ibadah yang bermanfaat kepada diri.
  3. Lakukan pekerjaan yang memerlukan penaakulan tanpa gangguan untuk meningkatkan diri.
  4. Menelaah pelajaran, ulang kaji, kemahiran dan amalan Silat dan/atau Akademik.
  5. Menghiburkan hati dengan amalan seni, permainan atau minat yang berfaedah pada kadarnya.
  6. Mengawal diri dari terjebak oleh nafsu negatif dan syaitan.

Demikianlah senarai adab-adab yang telah disusun oleh Al-Marhum Tuan Guru Anuar Abd. Wahab. Semoga post ini dapat memberi manfaat dan amalan pesilat, jurulatih, guru, mahupun pembaca.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...